Susahnya nak jadi positif

Salah satu cara untuk anda menjadikan hidup anda tenang dan bahagia adalah dengan berfikiran positif. Dulu, aku pernah juga skeptik dengan motivasi macam ni. Aku tak yakin dengan hanya berfikiran positif boleh menjadikan hari-hari dalam hidup ini jadi lebih tenang dan bahagia.

Tapi sekarang aku mula yakin dan percaya. Aku dah cuba sikit-sikit mempraktikkan berfikir secara positif dan menjadi seorang manusia yang sentiasa positif dan hasilnya memang bagus. Kalau anda tak percaya cubalah. Cubalah sedikit demi sedikit.

Tapi aku rasa masalahnya bukanlah keberkesanannya tetapi lebih kepada perlaksanaannya. Aku jamin menjadi seorang yang positif memang salah satu perkara yang sukar dalam hidup ini. Cubalah anda perhatikan berapa ramai rakan-rakan anda yang benar-benar positif dalam setiap tindakan. Memang tidak ramai.

Lihatlah reaksi jawapan rakan anda yang melihat anda ingin datang awal ke kelas.

Pasti mereka mengatakan, “Ala, awal lagi ni, datang awal pun buat ape? Bukan ada orang pun. Lagipun lecturer bukan marah pun datang lambat”.

Bukankah datang awal itu merupakan satu perkara yang positif. Mengapa sesuatu perkara yang positif itu walaupun kecil tetapi sering dipandang remeh.

Itulah salah satu realiti sifat buruk manusia. Walaupun perkara itu baik dan positif tetapi sering dileceh-lecehkan dan tidak dipandang dari sudut yang positif.

Menjadi positif bukanlah sesuatu yang mustahil. Ia sebenarnya memerlukan latihan dan ia juga merupakan proses pembangunan jiwa yang berterusan. Percayalah orang yang positif dalam segenap aspek kehidupannya adalah orang yang benar-benar berjaya.

Jadi mulai hari ini cubalah menjadi seorang yang berfikiran dan bertindak secara positif. Aku katakan ini termasuklah untuk diri aku sendiri.

Advertisements

Iktibar dari 2012

Filem 2012 merupakan sebuah filem mengenai kehancuran dunia yang diarahkan oleh Roland Emmerich. Filem ini mengisahkan kehancuran bumi pada tahun 2012 berdasarkan ramalan dari kaum Mayan.

Filem ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi kepada masyarakat dunia terutamanya kepada orang Islam yang dilarang mempercayai ramalan ini kerana bimbang boleh merosakkan akidah. Benar kita langsung tidak boleh percaya akan ramalan ini. Hanya Allah yang tahu bila berlakunya kiamat.

Tapi aku ada pendapat tersendiri. Bagi aku setiap Muslim tidaklah dilarang untuk menonton filem ini. Kita cuma dilarang mempercayai akan bila berlakunya kiamat. Filem ini tetap dapat memberikan manfaat kepada sesiapa yang ingin mencari manfaat daripadanya.

Bagi yang telah menontonnya pasti terpaku melihat kemusnahan yang berlaku. Bagaimana bangunan-bangunan tinggi runtuh dengan sekelip mata. Ombak tsunami seolah-olah membaham seluruh bandar. Rekahan tanah yang berpunca daripada pergerakan kerak bumi.

Adakah anda terfikir seperti inikah kiamat sebenar yang akan berlaku kelak. Bila aku fikir-fikirkan sambil menonton, aku dapat rasakan ini bukanlah terlalu teruk. Kiamat sebenar sudah pasti lebih dahsyat. Sudah pasti kita tidak mampu untuk membayangkannya. Aku lebih gemar memikirkan bahawa kiamat sebenar lebih teruk kemusnahannya kerana ia dapat membangkitkan rasa keagungan tuhan yang menjadikan kiamat itu berlaku.

Cuba anda fikirkan manakah lebih sukar samada menciptakan atau memusnahkan dalam perspektif manusia. Sebagai contoh, menciptakan sebuah kereta atau memusnahkan sebuah kereta. Manakah yang lebih sukar? Anda tahu jawapannya. Jika ingin menciptakan kereta lebih banyak langkah-langkah yang perlu diambil tidak seperti memusnahkan sebuah kereta. Anda hanya perlu tekan pedal minyak sekuat-kuatnya dan pusingkanlah stereng kereta ke arah tiang lampu. Nah, sekelip mata saja perlu untuk memusnahkan.

Begitu jugalah bagaimana Pencipta kepada bumi ini. Jika untuk menciptakannya saja sudah terlalu mudah, apatah lagi untuk memusnahkannya. Sudah tentu kemusnahan sebenar lebih maha dahsyat. Fikirkanlah bagaimana seorang wanita mengandung boleh bersalin pada ketika itu juga.

Apabila kita berjaya mengarahkan minda dan pemikiran kita dengan sebegini rupa, apakah output yang boleh diperoleh? Tanyalah diri anda. Apa faedah anda menonton filem sebegini dan mencari hikmah di sebaliknya? Jangan sekadar menonton untuk berseronok. Carilah hikmah dah manfaat dalam setiap perkara keseronokan yang anda alami. Inilah ‘point’ yang ingin dibincangkan dalam tulisan ini. Ajarlah diri anda bagaimana untuk mendapatkan kebaikan dalam setiap perkara yang anda lakukan walaupun ianya cumalah sekadar hiburan. Hiburan tetap mendatangkan manfaat jika kita bijak mencarinya. Jangan pandang sesuatu yang orang lain kata ia buruk itu terlalu buruk. Walaupun ia buruk, carilah hikmah atau kebaikan di dalamnya walaupun sedikit.

Bahagia datang melalui taat

wajah-bahagia

Lumrah manusia inginkan kebahagiaan. Tiada siapa pun tidak inginkan kebahagiaan. Islam mempunyai kaedah dan kunci kepada kebahagiaan. Sesiapa yang inginkan kebahagiaan, fahamilah kaedah yang dianjurkan Islam, sudah pasti mereka akan bahagia selama-lamanya.

Apakah kaedah untuk mencapai kebahagiaan? Islam mengajarkan bahawa untuk bahagia perlulah taat. Taat kepada siapa? Sudah tentu kepada tuhan iaitu pencipta kepada manusia itu sendiri dan merupakan pemilik kepada kebahagiaan sejati.

Taat yang dimaksudkan adalah melakukan segala yang telah diperintahkan Allah dan meninggalkan segala yang dilarang. Allah telah mencipta satu mekanisma atau kaedah yang begitu cantik sekali. Allah berjanji memberikan kebahagiaan kepada manusia dengan syarat mereka perlulah taat kepadaNya. Kebahagian yang didamba tidaklah percuma. Ia mestilah perlu ditukar kepada ketaatan kepadaNya.

Continue reading

Kita belum merdeka

samposter_b

Ketahuilah sebenarnya kita belum merdeka secara hakiki. Kemerdekaan negara yang ke 52 disambut pada pukul 12 tengah malam tadi hanyalah sebuah sub-kemerdekaan atau kemerdekaan kecil yang dikurniakan Allah kepada kita.

Tidak dinafikan kemerdekaan dari segi pentadbiran negara adalah penting demi meneruskan kehidupan yang aman dan damai. Tetapi janganlah kita lupa bahawa kemerdekaan sebenar yang hakiki adalah terlepasnya dari kemurkaan Allah dan berjaya mendapat keredhaan Allah. Itulah kemerdekaan yang sebenar.

Mengapa dikatakan kita belum merdeka? Sudah tentu kita belum merdeka kerana kita masih lagi hidup di dalam dunia ini. Kita masih lagi belum mati dan menghadapi akhirat di mana kemerdekaan sebenar akan diberikan oleh Allah.

Continue reading

Ramadhan menjelma lagi

Segala puji bagi Allah yang telah menemukan kita sekali lagi dengan bulan Ramadhan yang penuh rahmat ini. Kita bersyukur kerana diberikan peluang sekali lagi untuk mencari keampunan Allah dibulan Ramadhan yang mulia ini.

Seperti yang diketahui, bulan Ramadhan adalah merupakan hadiah yang diberikan Allah kepada kita. Allah menjadikan bulan ini untuk manusia menggunakannya sebagai medan latihan untuk melatih diri menjadi hambanya yang bertaqwa dan hidup dalam keadaan beribadat kepadaNya.

Di dalam bulan ini Allah menutup semua pintu neraka dan membuka seluas-luasnya pintu syurga. Ini menunjukkan Allah ingin memberikan keampunan kepada sesiapa yang mencarinya. Bulan Ramadhan adalah bulan keampunan di mana kita bukanlah mencari pahala dengan sebanyak-banyaknya tetapi apa yang sebenarnya perlu dicari ialah keampunan dan keredhaan Allah.

Continue reading

Berapa besarkah angkasa raya?

Keagungan pencipta terserlah melalui keindahan angkasa raya

Keagungan pencipta terserlah melalui keindahan angkasa raya

Keluasan angkasa sukar untuk diterjemahkan ke dalam bentuk pengiraan matematik. Saintis hanya menganggar bahawa keluasan angkasa adalah infiniti. Tetapi sukar untuk kita menerima bahawa angkasa itu adalah infiniti. Mungkin ia bermaksud dari sudut matematik keluasan angkasa ini tidak dapat ditulis dalam bentuk angka atau nombor. Nilainya terlalu besar dan lebih mudah jika dianggap bahawa ianya infiniti.

Jika kita beranggapan bahawa angkasa itu tidak infiniti. Apakah yang menjadi sempadannya? Apakah yang wujud di hujung keluasan angkasa raya itu? Dalam Islam kita tahu bahawa langit mempunyai tujuh lapisan seperti yang dapat kita dengar dalam peristiwa israk mikraj. Mungkin juga angkasa yang dianggap keluasannya infiniti ini hanya merupakan lapisan langit yang pertama.

Galaksi terdekat dengan galaksi kita Milky Way ialah galaksi Andromeda yang mempunyai jarak 2 juta tahun cahaya. Galaksi paling jauh yang mampu kita lihat adalah berjarak 10 hingga 12 bilion tahun cahaya. Bayangkanlah cahaya yang bergerak dengan kadar 300,000 juta sesaat mengambil masa berjuta-juta tahun untuk sampai kepada salah satu galaksi di angkasa ini. Jumlah galaksi yang terdapat dalam angkasa ini terdapat berbilion. Bayangkanlah diameter angkasa raya ini.

Continue reading

Cubaan serta ujian hidup

Lesson Plans Shark

Sudah menjadi lumrah hidup manusia yang tidak dapat lari dari cubaan serta ujian dalam kehidupan. Ujian merupakan salah satu cara bagi Allah menduga hamba-hambanya. Dengan diturunkan ujian, dapatlah diukur tahap keimanan seseorang apabila ditimpa musibah atau masalah dalam hidup. Manusia yang beriman dan bertaqwa tidak akan mengeluh apabila ditimpa ujian tetapi mereka bersyukur atas rahmat tersebut kerana apabila mereka berjaya melepasi ujian itu dengan baik, Allah akan menaikkan darjat mereka di sisiNya.

Ujian dalam kehidupan dapat mematangkan manusia. Hidup akan lebih bermakna dan menjadi realistik dengan ujian. Sesungguhnya Allah maha bijaksana dalam mengatur ujian ke atas hamba-hambanya. Allah tidak akan menguji hamba-hambanya melebihi batas kemampuan mereka. Segala ujian yang dihadapi pada hakikatnya sudah pasti sesuai dengan batas kemampuan seseorang. Oleh itu manusia seharusnya bersikap optimis dalam menghadapi segala musibah.

Ujian dapat di analogikan begini. Sekumpulan nelayan di sebuah kampung memikirkan cara bagaimana untuk mereka membawa pulang hasil tangkapan ikan mereka ke daratan dengan keadaan yang segar. Ada mencadangkan agar diletakkan ke dalam sebuah bekas berisi air supaya ikan itu hidup sehingga mereka pulang ke daratan selepas menangkap ikan.

Continue reading