
Lumrah manusia inginkan kebahagiaan. Tiada siapa pun tidak inginkan kebahagiaan. Islam mempunyai kaedah dan kunci kepada kebahagiaan. Sesiapa yang inginkan kebahagiaan, fahamilah kaedah yang dianjurkan Islam, sudah pasti mereka akan bahagia selama-lamanya.
Apakah kaedah untuk mencapai kebahagiaan? Islam mengajarkan bahawa untuk bahagia perlulah taat. Taat kepada siapa? Sudah tentu kepada tuhan iaitu pencipta kepada manusia itu sendiri dan merupakan pemilik kepada kebahagiaan sejati.
Taat yang dimaksudkan adalah melakukan segala yang telah diperintahkan Allah dan meninggalkan segala yang dilarang. Allah telah mencipta satu mekanisma atau kaedah yang begitu cantik sekali. Allah berjanji memberikan kebahagiaan kepada manusia dengan syarat mereka perlulah taat kepadaNya. Kebahagian yang didamba tidaklah percuma. Ia mestilah perlu ditukar kepada ketaatan kepadaNya.
Sebagai analogi, jika kita ingin mendapatkan kenderaan mewah yang dapat memberikan keselesaan serta pemanduan yang memuaskan, kita perlulah membayar dengan harga yang lebih mahal berbanding kereta yang lebih murah. Cukai jalan, insurans serta ‘maintenance’ juga memerlukan kos yang lebih tinggi. Tetapi hasilnya memang berbaloi iaitu keselesaan serta kepuasaan memandu. Selain itu orang juga akan memandang tinggi dan hormat kepada pemiliknya.
Begitulah juga jika ingin mendapatkan kebahagiaan. Kebahagiaan yang sejati perlulah dibayar dengan ketaatan yang hakiki. Bagaimanakah ketaatan yang hakiki? Ketaatan yang hakiki merujuk kepada pelakunya yang ikhlas serta melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Tanpa ketaatan yang ikhlas yang dengan sepenuh hati, tidak mungkin tercapainya bahagia itu.
Ingatlah bahawa Allah tidak sesekali zalim kepada hamba-hambanya, tetapi manusia itulah yang sebenarnya zalim kepada dirinya sendiri. Telah jelas janji Allah ingin mengurniakan kebahagiaan kepada hamba-hambanya, tetapi mengapa manusia seolah-olah tidak mahu akan kebahagiaan itu? Allah dengan sifat pemurahnya telah rela ingin memberikan kebahagiaan, tetapi manusia itu yang langsung tidak mahu berusaha mendapatkannya. Inilah yang dikatakan bahawa mereka itu sendiri yang sebenarnya menzalimi diri mereka sendiri.
Oleh itu aku menyeru kepada diriku dan saudara-saudaraku sekalian, taatlah kepada Allah dan Rasul jika inginkan kebahagiaan yang hakiki dan kekal selama-lamanya. Inilah kunci yang utama jika ingin bahagia. Jika anda telah memiliki kunci utama atau ‘master key’ tiada pintu di dalam dunia ini yang tidak boleh ditembusi. Tanpa ketaatan adalah mustahil untuk mencapai kebahagiaan.
salam khamis abang yusufjaafar ittewww..