
Ketahuilah sebenarnya kita belum merdeka secara hakiki. Kemerdekaan negara yang ke 52 disambut pada pukul 12 tengah malam tadi hanyalah sebuah sub-kemerdekaan atau kemerdekaan kecil yang dikurniakan Allah kepada kita.
Tidak dinafikan kemerdekaan dari segi pentadbiran negara adalah penting demi meneruskan kehidupan yang aman dan damai. Tetapi janganlah kita lupa bahawa kemerdekaan sebenar yang hakiki adalah terlepasnya dari kemurkaan Allah dan berjaya mendapat keredhaan Allah. Itulah kemerdekaan yang sebenar.
Mengapa dikatakan kita belum merdeka? Sudah tentu kita belum merdeka kerana kita masih lagi hidup di dalam dunia ini. Kita masih lagi belum mati dan menghadapi akhirat di mana kemerdekaan sebenar akan diberikan oleh Allah.
Dunia adalah tempat pengujian yang diciptakan Allah untuk melihat samada hamba-hambanya bertaqwa ataupun tidak. Dunia juga merupakan tempat yang memerlukan manusia patuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah. Manusia tidak bebas untuk melakukan sebarang perkara yang disukai tanpa melihat kepada perintah Allah. Inilah yang dikatakan manusia perlu hidup kepada keterikatan akan perintah Allah. Allah sengaja mereka peraturan sebegini bagi melihat keimanan manusia.
Berbeza dengan kampung akhirat. Bagi mereka yang berjaya. Allah menganugerahkan syurga yang tiada taranya itu. Manusia tidak lagi terikat oleh sebarang peraturan-peraturan ketat seperti di dunia. Malah diberikan bermacam-macam nikmat yang indah belaka hinggakan ianya tidak pernah terdengar oleh telinga, tidak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah terlintas oleh pemikiran manusia. Inilah kemerdekan hakiki yang dikurniakan Allah. Pemilik kemerdekaan yang sebenar.
Ramai manusia yang terlepas pandang akan konsep kemerdekaan yang sebenar ini. Mereka terlalu membincangkan kemerdekaan dunia sehingga melupakan kemerdekaan akhirat. Tidak dinafikan kemerdekaan dunia juga penting. Tetapi sebagai umat Islam yang beriman dan bertaqwa, ke mana lagi arah pemikiran kita jika tidak diarahkan kepada akhirat, negeri yang kekal abadi.
Kita boleh jadikan kemerdekaan dunia sebagai alat untuk mencari bekalan amalan dengan sebanyak-banyaknya untuk dibawa ke akhirat nanti. Jadikanlah dunia sebagai tempat persinggahan untuk mengumpul bekalan-bekalan penting untuk balik ke rumah asal kita di akhirat. Ingatlah bahawa dunia merupakan negeri peraturan dan undang-undang. Manusia tidak akan pernah merdeka jika mereka masih terikat dengan undang-undang. Dan ingatlah hanya di akhiratlah kita akan mendapat kemerdekaan hakiki di mana kita bisa hidup dalam keternikmatan yang tidak terhingga dengan kata lainnya merdeka-semerdeka-dekanya.
Subhanallah, saya setuju dengan topik ini. Sebagaimana kemerdekaan harus diperjuangkan, begitu jugalah kemerdekaan hakiki kita menuju kota akhirat wajib diperjuangkan. Wallahua’lam.
salam merdeka bro..
Salam Merdeka.
Semoga terus merdeka…