
Sudah menjadi lumrah hidup manusia yang tidak dapat lari dari cubaan serta ujian dalam kehidupan. Ujian merupakan salah satu cara bagi Allah menduga hamba-hambanya. Dengan diturunkan ujian, dapatlah diukur tahap keimanan seseorang apabila ditimpa musibah atau masalah dalam hidup. Manusia yang beriman dan bertaqwa tidak akan mengeluh apabila ditimpa ujian tetapi mereka bersyukur atas rahmat tersebut kerana apabila mereka berjaya melepasi ujian itu dengan baik, Allah akan menaikkan darjat mereka di sisiNya.
Ujian dalam kehidupan dapat mematangkan manusia. Hidup akan lebih bermakna dan menjadi realistik dengan ujian. Sesungguhnya Allah maha bijaksana dalam mengatur ujian ke atas hamba-hambanya. Allah tidak akan menguji hamba-hambanya melebihi batas kemampuan mereka. Segala ujian yang dihadapi pada hakikatnya sudah pasti sesuai dengan batas kemampuan seseorang. Oleh itu manusia seharusnya bersikap optimis dalam menghadapi segala musibah.
Ujian dapat di analogikan begini. Sekumpulan nelayan di sebuah kampung memikirkan cara bagaimana untuk mereka membawa pulang hasil tangkapan ikan mereka ke daratan dengan keadaan yang segar. Ada mencadangkan agar diletakkan ke dalam sebuah bekas berisi air supaya ikan itu hidup sehingga mereka pulang ke daratan selepas menangkap ikan.
Tetapi ikan-ikan itu masih lagi tidak segar selepas mereka sampai ke daratan. Tampil pula nelayan lain memberikan cadangan agar diletakkan anak ikan jerung ke dalam bekas tersebut. Mereka pun mencubanya dan ternyata idea tersebut berjaya. Ikan tersebut masih lagi segar walaupun setelah sampai ke daratan untuk dijual.
Secara mudahnya, ikan-ikan hasil tangkapan mereka di dalam bekas itu ibarat manusia dan anak ikan jerung itu ibarat ujian dalam hidup. Ikan-ikan di dalam bekas itu tetap segar walau setelah tempoh yang lama dari masa tangkapannya kerana ianya aktif bergerak di dalam bekas tersebut kerana takut akan anak ikan jerung tersebut. Mereka sentiasa berenang-renang dan berusaha menjauhkan diri dari anak ikan jerung tadi.
Begitu jugalah manusia, tanpa ujian hidup mereka akan lesu dan tidak akan berwarna. Kehidupan mereka akan menjadi statik dan tidak bermakna. Melalui ujianlah manusia dinilai oleh Allah sama ada benar akan iman mereka atau hanya pengakuan lisan semata tanpa lahir dari hati mereka. Lihat saja golongan para sahabat semasa zaman Rasulullah S.A.W dahulu.
Ujian yang menimpa mereka begitu hebat sesuai dengan tahap keimanan mereka pada masa itu yang begitu tinggi. Apalah sangat dugaan yang dihadapi oleh kita dibandingkan dengan ujian yang telah mereka lalui. Mereka berjaya melepasi ujian-ujian tersebut dengan jayanya dan Allah telah meningkatkan darjat mereka ke tahap yang begitu tinggi dan menjanjikan syurga untuk mereka.
Oleh itu jika kita inginkan syurga, bersabarlah dalam menghadapi setiap ujian dari yang sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya. Bersabarlah dalam beramal soleh walaupun menghadapi sedikit kesukaran. Hakikatnya kepayahan dan kesukaran itu juga adalah ujian bagi kita. Syurga itu mahal harganya dan beruntunglah jika kita bersabar sedikit pada hari ini untuk mendapatkan nikmat yang lebih kekal serta abadi di dalam syurga kelak.
me insaf dgn kelemahan n kekurangan diri me yg inih.. salam abang yusuf jaafar itteww
Salam en_me.
Kita sesama tahu diri kita ini lemah dan teruslah menginsafi diri kita sendiri.