
Kelibat manusia langsung tidak kelihatan, jadi mengapa masih sombong
Manusia sering takut untuk menjadi sombong kepada orang lain. Apabila bertemu rakan-rakan, dengan segera kita bertanya khabar, menegur dan berbaik-baik dengan mereka. Kita sungguh ramah apabila bertemu sesama makhluk. Tidak dinafikan perkara ini sememangnya tuntutan dalam Islam. Allah sendiri menyuruh kita berbaik-baik sesama manusia.
Tetapi, sungguh malang apabila apabila kita menyombong diri dengan pencipta kita sendiri. Kelibat manusia yang tidak langsung kelihatan jika dibanding dengan keluasan alam semesta ini, tetapi kita masih sombong untuk melimpahkan pujian kepadaNya. Kesombongan inilah yang akan membuatkan manusia terjerumus ke dalam api neraka.
Sungguh pelik rasanya jika difikirkan, pencipta yang mencipta manusia dan memberikan bermacam-macam nikmat yang tidak pernah putus-putus dibalas dengan tiada sebaliknya. Padahal Allah menciptakan manusia dengan penuh kasih sayang tanpa disedari oleh manusia itu sendiri dan tidak mengharapkan sebarang balasan atas segala rahmatnya.
Allah tidak pernah terjejas dengan kesombongan dan kederhakaan manusia itu. KekayaanNya tidak akan pernah luak, kekuatan dan keagunanNya tidak pernah terkurang mahupun sedikit pun. Padahal manusia itulah yang semakin rugi kerana menyombongkan diri kepada tuhan mereka.
Ada juga mereka yang sudah tahu dirinya yang banyak melakukan dosa dan jauh dari tuhan, tetapi tidak berusaha mendekatkan kepadaNya. Mereka tahu diri mereka lemah tetapi tidak berusaha untuk menjadi lebih kuat. Sedangkan pintu taubat masih terbuka luas seluasnya hinggalah hari kiamat.
Rasa sombong telah membuatkan manusia mendabik dada sambil bangga diri dengan segala jenis kejayaan yang dikecapi mereka hari ini. Kita menganggap bahawa segala pencapaian dalam ilmu sains dan teknologi ini adalah hasil usaha kita sendiri. Padahal Allahlah yang memberi ilham kepada manusia. Idea tidak datang dengan sendirinya tanpa ilham dari Allah. Sedangkan ilham untuk mencipta perkara yang sekecil-kecilnya seperti tisu tandas itu pun datang dari Allah.
Hakikatnya manusia tidak akan pernah dapat meneruskan kehidupan tanpa rahmat dan pertolongan dari Allah. Manusia sentiasa memerlukan petunjuk dan pimpinan dari Allah. Oleh itu janganlah kita menyombong diri kepadaNya. Dekatkanlah diri dengan sedekat-dekatnya. Carilah ilmu dengan sebanyak-banyaknya supaya kita lebih mengenaliNya dan membuatkan kita tidak sombong kepadaNya.
salamm bro..
Waalaikumsalam…